Powered by Blogger.

PETIKAN HARIAN METRO : Pembelajaran Dinamik



"Guru celik komputer mengajar guna perisian VLE Frog Program"

Kuala Lumpur - Pembelajaran melalui alam maya mampu memberi dimensi baru kepada warga pendidik dan pelajar dalam meneroka idea baru menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

Jika dulu guru akan membawa buku latihan pelajar untuk diperiksa, namun kini hanya menerusi perisian persekitaran pembelajaran maya Frog atau Virtual Learning Enviroment (VLE) Frog, semuanya hanya di hujung jari apabila bahan pengajaran boleh diperoleh melalui alam maya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini melancarkan Program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) dalam VLE Frog sebagai platform PdP berhasil melahirkan guru celik teknologi maklumat merentasi sempadan bilik darjah.

Ini terbukti selepas Kementerian Pendidikan memberi pengiktirafan kepada guru dan sekolah yang berjaya menggunakan VLE Frog dalam PdP menerusi Majlis Anugerah GM1M yang diadakan di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan kementerian itu, semalam.

Penerima Anugerah Khas GM1M, Liew Lee Joo, 33, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan, Sarawak berkata, pengajaran di bilik darjah lebih menarik dan menyeronokan terutama kepada pelajar selepas menggunakan VLE Frog.

"Sebagai guru Bahasa Inggeris, ia memudahkan saya apabila pelajar kini memberi tumpuan selepas menggunakan VLE Frog untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perkara diajar oleh guru.

"Saya juga menggunakan pendekatan mewujudkan laman web sendiri bagi memudahkan pelajar mengakses bahan pembelajaran yang diajar, ternyata bahasa Inggeris mereka semakin baik apabila mereka sudah boleh bertutur dengan rakan lain," katanya ketika ditemui selepas penganugerahan itu, semalam.

Selain itu, pemenang tempat pertama kategori guru sekolah menengah GM1M dimenangi Farizz Izzuan Busri, 30, dari SMK Agama Kedah.

Guru subjek kimia itu berkata, jika sebelum ini, kebanyakan guru akan membawa buku latihan pelajar untuk diperiksa dan membuat salinan latih tubi, kini semua bahan pembelajaran itu tidak diperlukan lagi.

"Program VLE Frog adalah gerbang kepada limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat dari seluruh web yang boleh diakses dalam persekitaran selamat dan sudah ditapis.

"Sebagai guru, perisian ini memudahkan proses mencari maklumat untyuk diguna pakai bagi memberi tugasan kepada pelajar," katanya.

Katanya, program VLE Frog adalah pembelajaran maya yang digunakan dalam proses PdP serta memberi peluang kepada pelajar meneroka lebih jauh mengenai subjek yang diajar dan pada masa sama, membentuk kendiri dalam diri pelajar.

Sumber : Harian Metro (03 Febuari 2016)
Tulisan : Suraya Roslan
Share on Google Plus

About jaarsmtd

"Jaarsmtd adalah seorang guru biasa yang mula menjadi blogger bebas sejak 2005. Semua isi kandungan blog merupakan pendapatan peribadi semata-mata dan ilmu yang dikongsi adalah untuk manfaat semua. Gunakan ia sebaik mungkin...."
    Blogger Comment
    Facebook Comment